Masa kini, AI semakin banyak digunakan di dalam pembangunan perisian, penghasilan media kreatif, pengurusan perniagaan, dan banyak lagi.

Perubahan ini mempengaruhi pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang, teknologi informasi (IT) adalah salah satu daripadanya. Majikan bukan lagi sekadar mencari pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal tradisional, malah semakin menghargai individu yang tahu menggunakan AI untuk menyelesaikan masalah, meningkatkan produktiviti dan menghasilkan penyelesaian yang lebih efisyen.

Menurut laporan PwC 2026 Global AI Jobs Barometer, iklan pekerjaan di Malaysia yang memerlukan kemahiran berkaitan AI meningkat sebanyak 7.4%. Laporan tersebut turut menunjukkan bahawa permintaan terhadap pengguna AI (AI user roles) semakin berkembang.

Ini memberikan satu isyarat yang penting kepada pekerja di dalam sektor IT bahawa kita perlu tahu bagaimana untuk mengintegrasikan AI ke dalam bidang kerja masing-masing.

Jadi, apakah kemahiran AI yang patut mula dipelajari oleh pekerja IT menjelang tahun 2027?

1. Literasi AI

Literasi AI ialah keupayaan memahami cara AI berfungsi, mengetahui perkara yang boleh dilakukan oleh AI dan batasan AI itu sendiri. Kemahiran ini membolehkan seseorang membuat penilaian kesesuaian penggunaan AI di dalam satu-satu situasi ataupun tugasan.

Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang programmer, anda patut tahu bahawa AI boleh digunakan untuk menjana kod. Hal ini berpotensi meningkatkan produktiviti anda jika digunakan dengan cara yang betul.

Sementara itu, anda juga perlu tahu bahawa penjanaan kod menggunakan AI memerlukan sokongan konteks yang terperinci untuk mendapatkan hasil yang tepat. Tanpa konteks yang jelas, AI mungkin akan menghasilkan implementasi kod yang kurang tepat berbanding apa yang anda harapkan. Malah, AI juga berkemungkinan untuk menghasilkan kod berbelit-belit yang sukar difahami oleh manusia.

2. Prompt Engineering

Kualiti hasil yang akan diperoleh daripada AI banyak bergantung kepada cara kita memberi arahan ataupun prompt. Oleh itu, adalah penting untuk mahir dalam memberi arahan kepada AI.

Kemahiran ini dikenali sebagai Prompt Engineering.

Prompt yang baik perlu mempunyai konteks, objektif, arahan yang jelas dan format output yang dikehendaki.

Sebagai contoh, berbanding memberikan arahan:

"Buatkan kod login menggunakan PHP."

Arahan yang lebih baik ialah:

"Bina modul login menggunakan PHP 8.5 dan PostgreSQL. Gunakan PDO prepared statements, password_hash() dan password_verify(). Sertakan validasi input, pengendalian error dan amalan keselamatan asas. Asingkan kod kepada fail yang sesuai."

Arahan kedua memberikan konteks dan keperluan yang lebih jelas, sekali gus membantu AI menghasilkan jawapan yang lebih relevan.

3. AI-Assisted Programming

Bagi software developer, antara kemahiran yang semakin penting ialah keupayaan menggunakan AI sebagai pembantu dalam proses pembangunan perisian.

AI boleh membantu mempercepatkan pelbagai tugasan seperti:

  • Menjana kod.

  • Membuat implimentasi SDK dan API.

  • Mengesan dan menerangkan ralat (debugging).

  • Menghasilkan unit test.

  • Menyemak kualiti kod.

  • Menjana dokumentasi teknikal.

  • Membantu memahami kod lama.

  • Mencadangkan penambahbaikan struktur kod.

Antara tools yang boleh diterokai ialah GitHub Copilot, Cursor dan Claude Code.

Walau bagaimanapun, penggunaan AI tidak bermaksud developer boleh mengabaikan asas pengaturcaraan. Sebaliknya, pemahaman tentang algoritma, struktur data, database, API, arkitektur perisian dan keselamatan aplikasi masih sangat penting.

Developer yang mempunyai asas teknikal yang kukuh mampu menilai sama ada kod yang dijana AI benar-benar sesuai digunakan.

4. Agentic AI

Selain menghasilkan kandungan dan menjawab soalan, AI kini boleh digunakan untuk membantu melaksanakan tugasan yang melibatkan beberapa langkah.

Konsep ini berkait rapat dengan AI Automation dan Agentic AI.

Agentic AI merujuk kepada sistem yang boleh merancang dan melaksanakan beberapa langkah untuk mencapai objektif tertentu, dengan tahap autonomi yang berbeza bergantung kepada reka bentuk sistem.

Contoh penggunaan Agentic AI termasuk:

  • Membaca dan mengelaskan e-mel secara automatik.

  • Menjana laporan berdasarkan data.

  • Memantau sistem dan menganalisis log.

  • Mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber.

  • Menghasilkan draf kandungan berdasarkan topik tertentu.

  • Menghubungkan beberapa aplikasi melalui API.

Pekerja IT boleh meneroka platform automasi seperti n8n dan membina aliran kerja yang menggabungkan API, database serta model AI.

5. Cloud Computing, MLOps dan Deployment AI

Memastikan aplikasi AI boleh digunakan dengan stabil, selamat dan berskala dalam persekitaran sebenar merupakan cabaran yang berbeza.

Di sinilah kemahiran cloud computing dan MLOps menjadi penting.

Antara perkara yang boleh dipelajari:

  • Penggunaan cloud platform seperti AWS, Microsoft Azure dan Google Cloud.

  • Pengurusan container menggunakan Docker.

  • Asas Kubernetes.

  • CI/CD dan deployment automation.

  • Pengurusan model serta versi aplikasi.

  • Pemantauan prestasi aplikasi AI.

  • Pengurusan kos penggunaan API dan infrastruktur.

Bagi mereka yang ingin menjadi AI engineer atau bekerja dalam pasukan pembangunan sistem AI, kemahiran ini boleh menjadi kelebihan yang besar.

6. Cybersecurity dan AI Security

Penggunaan AI turut membawa cabaran keselamatan baharu.

Aplikasi yang mengintegrasikan LLM, misalnya, boleh terdedah kepada risiko seperti prompt injection, kebocoran maklumat sensitif, penyalahgunaan API dan akses tanpa kebenaran.

Oleh itu, pekerja IT perlu memahami bagaimana melindungi aplikasi dan data apabila AI digunakan dalam sistem organisasi.

Antara kemahiran yang relevan ialah:

  • Asas keselamatan API.

  • Authentication dan authorization.

  • Pengurusan akses kepada data.

  • Perlindungan maklumat sensitif.

  • Secure coding.

  • Risiko prompt injection.

  • Pemantauan dan audit aktiviti AI.

Bagi system administrator dan cybersecurity specialist, pemahaman tentang penggunaan AI dalam keselamatan siber juga semakin relevan.

AI boleh membantu menganalisis log, mengenal pasti corak luar biasa dan mempercepatkan proses penyiasatan insiden. Namun, keputusan keselamatan yang kritikal masih memerlukan pengesahan manusia.

Kesimpulan

Walaupun kemahiran teknikal AI semakin mendapat perhatian, pekerja IT tidak boleh mengabaikan kemahiran insaniah ataupun soft skills.

Laporan World Economic Forum, Future of Jobs Report 2025, menyenaraikan AI dan Big Data sebagai antara kemahiran yang berkembang paling pantas. Pada masa yang sama, pemikiran analitikal, kreativiti, fleksibiliti dan keupayaan belajar secara berterusan kekal penting kepada majikan.

Antara kemahiran yang perlu dibangunkan ialah:

  • Critical thinking – menilai ketepatan dan kesesuaian hasil AI.

  • Problem solving – mengenal pasti masalah sebenar sebelum memilih penyelesaian.

  • Communication – menerangkan penyelesaian teknikal kepada pihak bukan teknikal.

  • Creativity – menghasilkan idea dan pendekatan baharu.

  • Adaptability – menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

  • Continuous learning – sentiasa memperbaharui pengetahuan dan kemahiran.

AI boleh membantu menghasilkan kod atau menganalisis maklumat, tetapi manusia masih perlu menentukan masalah apa yang patut diselesaikan, menilai risiko dan membuat keputusan.

Perkembangan AI sedang mengubah cara organisasi bekerja dan cara majikan menilai kemahiran pekerja.

Pekerja IT yang hanya bergantung kepada kemahiran teknikal sedia ada mungkin berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri apabila proses kerja semakin banyak dibantu oleh AI.

Perkara yang lebih penting ialah memahami bagaimana AI boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan menyelesaikan masalah dalam bidang masing-masing.

Sumber Rujukan

  1. PwC – 2026 Global AI Jobs Barometer (Malaysia)⁠ — Trend permintaan kemahiran AI dalam pasaran pekerjaan Malaysia.

  2. World Economic Forum – Future of Jobs Report 2025⁠ — Kemahiran yang dijangka semakin penting menjelang 2030.

  3. Microsoft – 2026 Work Trend Index Malaysia⁠ — Penggunaan AI dan perubahan cara kerja dalam kalangan pekerja Malaysia.